Saturday, May 6, 2017

SYARIAH DAN MAQASID, YANG MANA SATU DULU?

OLEH  USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
PENGARAH SYARIAH AMANAH NASIONAL


1. Sering disebut, laksanakan dulu syariah, barulah maqasid umumnya iaitu keadilan, rahmah, hikmah dan maslahah tercapai. Analoginya, kalau tak dijatuhkan hukuman, bagaimana keadilan boleh tertegak? Kalau tak makan, macam mana boleh kenyang?
2. Kalau saya ingin menjawab secara analogi juga, saya katakan, jika kita tahu hukuman yg bakal dijatuhkan tidak menatijahkan keadilan, untuk apa diteruskan hukuman itu? Kalau kita tahu makanan yg terhidang beracun, untuk apa kita makan, lebih baik kita berlapar seketika. Tapi analogi itu bukan jawapan saya.
3. Dari sudut terma, maqasid syariah bukan dua perkara berasingan. Ia satu, sama seperti Usul al-Fiqh atau Mustalah al-Hadis. Maqasid syariah sudah menjadi suatu disiplin ilmu yg besar yg diaplikasi dlm pelaksanaan syariah supaya tujuan syariah tercapai. Maqasid syariah bersumberkan syariah, bukan nafsu.
4. Dari sudut praktikal pula, jika maqasid dan syariah dipisahkan, tidak wujud lagi syariah, atau kalau wujud pun, kewujudannya tidak punya makna, kerana maqasid adalah ruh kpd syariah. Tanpa maqasid, syariah akan mati dan tidak lagi dikenali sebagai syariah. Sesuatu yg mati sama saja dgn sesuatu yg tidak ada. Tanpa maqasid, dimana syariahnya?
5. Hukum hudud potong tangan misalnya, antara tujuan khususnya utk memelihara harta. Jika pelaksanaannya tidak mencapai tujuan itu, itu bukan hudud. Jika bukan hudud, maka hukuman itu zalim. Justeru, maqasid dan syariah tidak boleh disorot secara berasingan kerana ia sebenarnya adalah satu.
6. Saya tidak berminat menyorot pelaksanaan syariah dari sudut hukuman saja kerana syariah begitu luas merangkumi maslahah dunia dan akhirat. Sementara para pengkritik maqasid pula hanya melihatnya dari sudut hukuman yg khusus kpd hukuman hudud saja. Bagi saya ini adalah sudut pandang yg tersimpang drpd sudut pandang syariah yg sebenar.
7. Ketidakadilan, kacau-bilau, kesesiaan dan kerosakan boleh berlaku semasa dan selepas pelaksanaan syariah sekiranya realiti tidak diambil kira kerana mungkin ia terlaksana pada masa yg salah.
8. Misalnya, seorang doktor berhenti untuk bersolat ketika sedang melakukan pembedahan kritikal apabila masuk waktu solat. Tercapaikah tujuan solat iaitu tercegah perbuatan keji jika solat ditunaikan ketika itu? Sedangkan perbuatan memberhentikan pembedahan itu sendiri sudah dikira mungkar kerana mengancam nyawa.
9. Dalam kes di atas, keutamaannya ialah menyelamatkan nyawa manusia bukan bersolat. Menunaikan hak hamba lebih utama drpd hak Allah. Takkanlah seorang ahli bomba wajar mengabaikan panggilan kebakaran untuk pergi solat Jumaat misalnya.
10. Kita kata, solat sajalah, itu syariah, maqasidnya datanglah kemudian. Dimana maqasidnya jika rumah hangus dan nyawa melayang? Anggota bomba itu mesti dlm stand by di tempat tugasnya berpandukan fiqh waqi', aulawiyyat, tawaqqu' dan maalat demi mencapai maqasid syariah menjaga nyawa dan harta yg terkandung dlm perintah Allah, dan bertolong-menolonglah dlm perkara kebaikan.
11. Inilah sebahagian pemikiran maqasidi yg menjadi sendi pelaksanaan syariah dlm konteks perjuangan memartabatkan syariah yg dipelopori oleh Amanah.

No comments:

Post a Comment