Sunday, November 12, 2017

TAKSUB MELAMPAU

*FANATIK MELAMPAU (TA'ASUB) YANG MEMUSNAHKAN AKHLAQ PERJUANGAN*
Syeikh Dr. Yusuf alQaradhawi menyenaraikan *tiga tanda ta'asub* seseorang kepada sesuatu kumpulan (atau jemaahnya);
*Pertama:*
Seseorang itu hanya _menyebut kelebihan dan kebaikan kumpulannya sahaja_, sementara untuk kumpulan lain hanya disebut keburukan dan kecacatan.

*Kedua:*
Dalam masa yang sama, _mengagungkan tokoh-tokoh kumpulannya_, sekalipun terdapat kesilapan dan kesalahan pada tokoh tersebut yang cuba dinafikan, dan memandang rendah tokoh lain sekalipun terdapat ketinggian ilmu & amal.
*Ketiga:*
Gembira dan _menyebarkan kesilapan dan kesalahan pihak lain_. Dalam masa sama, membutakan mata pada kesalahan tokoh dari kumpulan sendiri, dan berusaha mencipta pelbagai alasan untuk mempertahankan kesalahan itu.
*Dari 3 sifat ta'sub di atas...*
Seseorang itu dilihat berlebih-lebihan (ghulluw, tasyaddud) mempertahankan organisasi kumpulan (atau jemaah) sendiri seolah-olah itu adalah perkara ta'abbudi. Sehingga dikorbankan maslahah dakwah Islam dan umatnya supaya organisasi kumpulannya lebih terjaga.
*Untuk itu;*
*Qaradhawi mengingatkan pada pendakwah dan pendokong gerakan Islam bahawa;*
(a) Kumpulan atau jemaah hanyalah _wasilah (atau alat)_ dan bukannya berhala yang perlu disembah dan diagungkan seolahnya tiada dosa.
(b) Kaedah menjauhkan sifat ta'asub (fanatik melampau) dalam hal perbezaan pendapat dan ijtihad, seseorang hendaklah;
(1) *Lihat pada kandungan* teguran/percakapan, bukan pada susuk yang berkata, sekalipun dari musuh.
(2) Pendakwah perlu *berani mengkritik* diri sendiri, mengakui kesilapan, mengalu kritikan orang lain, meminta nasihat dan penilaian serta mengambil faedah dari semua orang.
(3) Pendakwah sebenar *wajib mempertahankan sesuatu yang kebenaran*, sama dari kawan atau lawan.
*وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ...*
_"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman._
(Adz-Dzaariyaat 51:55)
📗 *Rujukan:*
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam _as-Sahwah al-Islamiyyah Bayna al-Ikhtilaf al-Masyru' wa at-Tafarruq al-Mazmum
Cetakan: 1990.

Friday, November 10, 2017

TAK PERLU TERLALU LAMA


1. Ucapan bajet tak perlu ambil masa sehingga 2 jam 40 minit. Paling panjang 1 jam setengah, sudah memadai. Ucapan penting tak semestinya panjang berjela-jela. Pendengar bosan dan hilang fokus.
2. Lagi pun semua fakta dan angka bajet ada dlm dokumen bercetak dan perinciannya yg diedar kpd semua MP. Ucapan bajet tak perlu ada goreng, perli dan sentuh peribadi.
3. Dalam ucapan bajet cukup nyatakan matlamat, strategi dan fakta serta figur sangat penting yg memerlukan kpd penegasan melalui ucapan. Jika tak perlukan penegasan, tak perlu masuk dlm ucapan bajet.
4. Saya harap, ucapan menteri kewangan PH nanti jangan bazir masa seperti Najib. Ucapannya mesti fokus, tepat dan padat. Sejam sudah memadai. Tak payah nak paksa MP dengar lalutan menteri dlm ucapan bajet.
5. MP sepatutnya diberi masa yg lebih selesa utk berbahas. Dan, bahasan MP juga jangan melalut. Ucapan perlukan persediaan, bukan sekadar utk tonjol muka dlm TV supaya orang kampong tengok.
6. Apabila Najib berucap hampir 3 jam, itu menunjukkan dia sudah hilang keyakinan diri. Dia cuba memancing MP dgn perkara remeh dlm lalutannya, bukan perkara pokok tentang bajet.
7. Parlimen bukan tempat indoktrinasi, tapi tempat utk menyerlahkan maslahah rakyat melalui idea bernas MP. Jika Najib boleh perli orang dlm ucapan penting negara, apa yg boleh diharap lagi drpd lidahnya utk bercakap perkara berfaedah utk rakyat.


ZOLA

Monday, July 31, 2017

BALASUNGKAWA ABDULLAH LEBAI MANAN

CATATAN KENANGAN BERSAMA BANG LAH YG KEMBALI MENEMUI PENCIPTANYA PADA HARI INI

1. Dia bukanlah seorang berpelajaran tinggi, cuma seorang pembantu am di sekolah.

2. Namun jiwanya besar dan buah fikir politiknya bernas. Kudratnya juga agak luar biasa.

3. Dengan motosikal, dia bergerak dari rumah ke rumah, bercakap, berjenaka dan berkias mengajak orang ramai mengundi Pas.

4. Dia antara tulang belakang yg menyumbang kemenangan Pas di DUN Santan pada tahun 1999.

5. Seorang anakku memanggilnya ayah, dan isterinya dipanggil emak. Sehingga kini, anakku yg pernah dijaganya itu sering ditanya khabar apabila aku ditemuinya.

6. Semasa aku terlantar di hospital suatu masa dulu, setiap petang dia akan mengunjungiku bersama buah tangan tanpa melupai air kelapa muda bercampur lada hitam.

7. Pokok cempedak di tepi rumahnya setiap musim menjadi rezeki aku sekeluarga. Dia sendiri yg menghantarnya ke rumah.

8. Walaupun dia sendiri bukanlah orang senang, namun dia tidak senang melihat ada orang lain kesusahan. Secara senyap-senyap dihulurnya sekadar dia ada kepada sesiapa saja.

9. Anak perempuannya bekas anak muridku. Hah... aku teringatkan peristiwa besar itu apabila aku diberi kepercayaan utk merungkainya. Biar tersimpan dalam rekod malaikat peristiwa itu.

10. Suatu tempat yg sangat gemar dikunjunginya ialah hospital utk ziarah orang sakit. Hampir setiap hari dia di situ menyantuni sesiapa saja yg dia kenal atau tidak kenal.

11. Hubungan kami tetap akrab walaupun aku sudah menyertai Amanah dan dia masih bersama Pas. Suatu ungkapnya, "Ust orang cerdik. Pergilah bersama Amanah. Saya doakan ustaz."

12. Kali terakhir aku jumpa dia pada Idulfitri yg lalu, di rumahnya. Dia kata, "Jangan lupa, tengah bulan 8 ust mai ambil cempedak. Saya dah tanda utk ustaz."

13. Hah... banyak benar yg aku nak tulis tentang dia, manusia biasa yg luar biasa. Dunia akan sunyi seketika tanpanya.

14. Ya. Hari ini (1/8), Bang Lah sudah pulang menemui Penciptanya. Aku tak cukup air mata untuk dititiskan, cuma Tuhan Maha Tahu ikatan hati antara aku dan dia.

15. Semoga Allah mengampuni dan merahmati Abdullah Lebai Manan, seorang abang dan sahabat yg kecil pada pandangan manusia, namun besar bakti dan jasanya.

16. Bang Lah, damailah engkau di sana.
-ZOLA.

Friday, June 2, 2017

Melayan Tetamu

Pernah diriwayatkan bahawa Nabi Allah Sulaiman A.S pernah ditegur oleh Allah SWT kerana melayan tetamu dengan tidak sepenuh hati.

Pada suatu hari Nabi Sulaiman AS telah dikunjungi oleh seorang tetamu. Dia adalah seorang yang kafir. Baginda pada waktu itu berfikir bahawa tidak perlu tetamu itu dimuliakan dan dihargai sepertimana tetamu dari kalangan pengikutnya kerana dia adalah seorang yang kafir. Lantas baginda hanya menghidangkan tetamunya dengan minuman dan bercakap dengan seadanya.

Sekembalinya tetamu itu, baginda telah didatangi malaikat Jibril A.S menyampaikan teguran Allah: “Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau melayan tetamu seperti itu ?
Jawab nabi Sulaiman:”Bukankah dia (tetamu itu) dari golongan kafir?”
Jibril bertanya:”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?”
“Allah!” Jawab Nabi Sulaiman penuh yakin.
Jibril : “Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?”
Nabi Sulaiman : “Allah!”
Jibril :”Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan?”
Nabi Sulaiman :”Allah!”
Jibril :”Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?”
Nabi Sulaiman :”Allah!”
Jibril : “Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?” Nabi Sulaiman A.S terdiam dan terus bersujud”.
Nabi Sulaiman : “Ya, Allah! Ampunilah hamba-Mu yang telah berbuat zalim ini.”
Kemudian malaikat Jibril menyampaikan wahyu Allah:”Wahai nabi Allah, pergilah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya.”.
Dengan segera Nabi Sulaiman mencari tetamunya tadi. Setelah bertanya ke sana ke mari dan mencari-cari, ternyata, tetamunya itu sudah jauh berjalan meninggalkan kota. Nabi Sulaiman A.S dengan pantas mengejar tetamunya itu. Setelah bertemu, dan dengan nafas yang masih termengah-mengah, baginda berkata: “Saudara, tunggu…!”
Tetamu tadi menoleh dan melihat keadaan Nabi Sulaiman dengan kehairanan lalu bertanya: “Kenapa?”
“Saudara… sudikah kamu memaafkan tingkah laku saya tadi, ketika mana kamu menjadi tetamu di rumah saya tadi?”
Orang itu diam. Jauh di sudut hatinya, sebenarnya dia merasa wajar diperlakukan seperti itu, kerana dia memang bukan termasuk di dalam golongan pengikut Nabi Sulaiman. Dia tidak menerima ajaran Tauhid yang dibawa oleh baginda.

Tetapi dia terus juga bertanya: “Kenapa, wahai Sulaiman?”
“Allah menegurku, setelah engkau pulang dari kediamanku.”
“Allah? Siapakah dia?” Tetamu itu bertanya.
“Allah adalah Tuhan, Tuhan Kami dan Tuhan Engkau, Yang menciptakan langit dan bumi, dan semua isinya. Dia yang menciptakan malaikat, jin dan manusia. Dia Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.”

“Lalu, kenapa Dia menegurmu?” Tetamu itu terus bertanya.
“Allah menegurku, kerana aku sudah tidak berlaku adil terhadapmu. Aku tidak memuliakanmu sebagai tetamu. Allah yang Maha Kuasa selalu bersifat adil terhadap semua hamba dan ciptaan-Nya, mengapa aku berlaku tidak adil terhadapmu?” Nabi Sulaiman menerangkan keadaan sebenar.

“Sebegitukah Tuhanmu wahai Sulaiman, memperlakukan aku, walaupun aku bukan dari golonganmu?” Tetamu itu bertanya penuh taajub.

“Iya…! Maafkan sikapku tadi wahai saudara, ampunan Allah tergantung dengan kemaafanmu” Nabi Sulaiman meminta.
“Saksikanlah, wahai Sulaiman! Asyhadu alla ilaa ha illallah, Wa anta Rasulullah!” ucap si tetamu.

Orang itu memeluk nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman pun memeluk tetamunya itu dengan penuh rasa terharu.

Sebenarnya bila Allah memerintahkan kita berbuat sesuatu ataupun meninggalkan sesuatu pasti akan ada hikmahnya yang besar di sebaliknya. Lihatlah, dengan hanya memuliakan tetamu boleh membuatkan hati seorang kafir menjadi lembut dan menerima Islam.

Sumber FB Awang Al-Kenit

Sunday, May 21, 2017

Fadhilat Ramadhan

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Mat Over dah over


     
 
1. Insiden tampar semasa dialog artis bersama Najib Tun Razak dalam taklimat TN50 memalukan seluruh negara.
2. Tidak sepatutnya mana-mana pihak dikasari hanya kerana memohon sesuatu penjelasan. Lebih malang insiden tersebut berlaku di hadapan seorang PM yang dituduh amalkan kleptokrasi.
3. Adakah budaya ‘bodek’ sampai ke tahap ‘gaban’ untuk membuktikan kesetiaan dari kalangan artis? Apakah ini budaya (bodek) TN50 yang akan mewarnai politik Malaysia di masa hadapan?
4. Golongan artis sepatutnya bebas seperti mana karya mereka, jangan dicemari dengan bodek dan diracuni amalan rasis.
5. Komentar di media sosial sudahpun beredar dengan membawa nuansa rasis hanya kerana mangsa yang dikasari adalah Cina dan yang mengkasari adalah Melayu.
6. Mesej insiden tampar adalah jelas, budaya bodek boleh mencemarkan nama baik PM, keterbukaan tidak ada dan PM kini merasai hasil budaya bodek yang didoktrinkan ke atas masyarakat seni.
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Malaysia

Hannah Yeoh, Jadi Melayu Muslim Pun Susah


    
 
 
1. Bukan sahaja sukar untuk menjadi kaum lain di Malaysia, menjadi Melayu pun susah. Lebih rumit bangsa dan kaum diadun dengan isu agama dan kepercayaan. Malah berkarya dan berkongsi pengalaman ketuhanan dalam kehidupan seseorang pun adalah satu jenayah di Malaysia.
2. Kalau buku ‘Menjadi Hannah Yeoh’ dikatakan menyebar agama Kristian dan cubaan memurtadkan orang Islam, saya orang Melayu dan Muslim jujurnya dalam keadaan dilema. Ia membawa mesej membimbangkan kerana bangsa saya dan agama saya dipertontonkan sebagai lemah hanya dengan satu karya dari penulis bernama Hannah Yeoh.
3. Saya kata sukar menjadi Melayu dan Islam di Malaysia kerana saya terperangkap antara bersikap objektif dan emosional. Terperangkap dalam dilema inilah menyebabkan rakyat kita kurang peduli kepada isu yang lebih besar negara.
4. Implikasinya ialah setiap kaum dan agama berada di balik tembok kubu masing-masing. Mereka yang cuba keluar dari belengu kubu masing-masing dikatakan ‘musuh’ dengan label Liberal dan Murtad tidak kurang Munafik. Itu kubu Melayu.
5. Semua insiden negatif di Malaysia dikaitkan dengan agama atau bangsa, walhal secara objektifnya insiden itu datang dari sikap individu dan bukan mewakili bangsa atau agamanya.
6. Saya lebih terperangkap dalam ‘dunia tembok’ ini apabila kebencian kaum dan agama diinstitusikan melalui sikap parti politik tertentu dan pihak kerajaan sendiri seolah mendapat ‘barakah’ restu nuansa-nuansa keji ini. Isu perundangan RUU 355 hanya kerana namanya Islam distrukturkan begitu rupa dengan kerjasama pemerintah sehingga menimbulkan kebencian terancang sesama umat Islam dan umat beragama lain.
7. Logik dunia hari ini mudah, ia berputar di paksi bekalan dan permintaan. Semua pihak yang berkepentingan ambil kesempatan membekalkan permintaan ini kerana hasilnya lumayan. Para penunggang agama, para penyebar kebencian dan parti politik yang terdesak adalah benifisarinya. Sekali lagi saya terperangkap.
8.Tembok kubu dikawal oleh bomoh-bomoh handal dan pendita-pendita yang kerjanya ‘menjampi serapah’ mangsa ‘sihir’ dan para pendita yang siang malam berkhutbah dan menghukum mereka yang mahukan bebas dari kubu-kubu ini. Terimakasih kepada teknologi media sosial.
9. Namun saya beruntung kerana ada ‘kunc’i keluar dari tembok penjara ini. Tiada bomoh atau pendita yang mampu menghalang saya. Saya tak perlu menjadi bangsa lain dan saya tak perlu ada agama lain. Saya tetap Melayu beragama Islam dan bangsa lain tetap mereka dengan agama mereka.
10. Saya telah temui apa yang perlu dijaga dan dikawal, bukan tembok Melayu-Islam, tembok Cina- Kristian, tembok India-Hindu atau tembok Sabah Sarawak. Saya perlu memelihara Tembok Kubu Kemanusiaan, Kubu Kebebasan dan Kubu Kasih-Sayang.
11. Kubu ini tidak dicam dengan agama atau bangsa, luas terbentang, semuanya bebas keluar masuk di dalamnya. Hanya satu sahaja matlamat mereka iaitu mengawal musuh durjana yang mengancam kemanusiaan daripada para penunggang kaum dan agama. Awas musuh-musuh ini yang berselindung di sebalik wajah agama dan bangsa.
12. Malaysia memerlukan kubu dan tembok kukuh kemanusiaan dan kebebasan untuk dipertahankan barulah menjadi Melayu dan Muslim adalah satu kebanggaan bukan satu dilema. Kubu ini menyelamatkan juga kaum lain dan agama lain kerana kita semua adalah Manusia.
“Tidak Aku Utuskan dikau (wahai Muhammad) Melainkan untuk bawa Rahmat kepada semua alam ini”
وما ارسلناك الا رحمة للعالمين
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden AMANAH
18 Mei 2017