Sunday, November 14, 2021

Tongkol cili bersantan

 Ikan kayu Masak Cili Bersantan..siap utk di makan..🤗🤗


Resepi ni senang jer,mcm nk buat Ikan Masak Sambal cumanya letak daun kari dan santan pekat..tapi x ape sis share juga resepi ni khas utk adik2 yg baru nk bljr memasak dan juga utk warga MAHN semua ok😍😍


RESEPI IKAN KAYU(TONGKOL)MASAK CILI BERSANTAN


Ikan kayu (gaul dgn garam dan kunyit- goreng stgh masak sj-ketepikan)

Cili kering(ikut pedas masing2)

1biji bwg besar

1ulas bwg putih

Blend semua bhn diatas

1sudu kecil paste asam jawa

1/2 cwn air 

Santan pekat rm2

2tangkai daun kari(wajib)

Garam (sesedap rasa)

Gula (sesedap rasa

Sedikit Secukup Rasa

1biji bawang besar yg dimayang utk hiasan


Cara2

Tumis bhn yg diblend tadi sampai naik bau. Masukkan garam,gula,daun kari,paste asam jawa dan air. Kacau sampai mendidih, masukkan santan pekat,ikan kayu yg digoreng tadi dan secukup rasa(api jgn kuat sgt). Kacau dan biarkan hingga pekat sedikit baru masukkan bwg besar yg dimayang utk hiasan..Senang kan..Selamat Mencuba!!!😘😘


Credit : Maslina Pawanchik‎

Monday, May 10, 2021

 CATATAN SUBUH 


Alhamdulillah kita hampir menghabiskan puasa ramadhan pada tahun 1442 ini.Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/MCO) dalam membendung pernularan wabak yang berbahaya corona virus 2019 juga dikenali sebagai Covid-19.Bulan Ramadhan masing-masing berusaha memperbanyakan amalan soleh disamping kita cuba segala amalan dan perbuatan sia-sia dan tidak berfaedah.Kita berlumba-lumba tadarus al-Quran,memperbanyakan zikir ,solat sunat dan bersedekah.Bulan ini kita juga perlu banyakkan bersabar didalam semua hal dan keadaan.Inilah bulan latihan dan ujian dan selepas ini kita akan bawa amalan dibulan Ramadhan ini didalam kehidupan kita selepas bulan Ramadhan ini,

Dalam menjalani ibadat dibulan Ramadhan banyak perkara perlu kita jaga.seperti tuturkata,perbuatan dan tingkahlaku..Kita boleh menyuruh anak-anak kita membuat kerja-kerja seperti mengutip pinggan kotor,sampah,membasuh kain baju dan sebagainya untuk tujuan mendidik.Tetapi kita janganlah menyindir dengan berbagai cara untuk membantu kerja-kerja kita kerana perbuatan menyindir itu mungkin baik untuk sesetengah orang tetapi ia bisa mengguris perasaan orang lain .Pasangan kita akan terasa,ibu atau mertua kita juga akan terasa.Kita mungkin menyangka kata-kata seperti 'pinggan sendiri pun tak boleh angkat dan basuh" adalah biasa,ya ia biasa untuk anak-anak kita tetapi bisa mengguris perasaan pasangan kita.Lebih baik kita menyuruh atau meminta pertolongan mereka untuk kemaskan dan membasuh misalnya.Ya kita merasa penat sebab kita buat kerja bersaorangan tetapi kita boleh meminta pertolongan mereka untuk membantu kita dengan memujuk dan memuji .Apa salahnya.Kita perlu pendekatan yang berhikmah.Sebab itulah kita perlu berikhlas didalam setiap amalan dan perbuatan kita.Kalau satu sahaja amalan kita buat dengan IKHLAS dan diterima Allah sudah cukup Allah memasukkan kita kedalam syurganya.Janganlah kita membuat sesuatu amalan itu tetapi ia adalah sia-sia tiada nilainnya.

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/09/606430/pelihara-niat-dan-ikhlas-elak-amalan-rosak

Pelihara niat dan ikhlas, elak amalan rosak

Niat dan ikhlas menentukan kedudukan amalan di sisi Allah SWT. Gambar hiasan. - Foto Saifullizan Tamadi
Niat dan ikhlas menentukan kedudukan amalan di sisi Allah SWT. Gambar hiasan. - Foto Saifullizan Tamadi

TANPA niat dan keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT, sukar untuk individu istiqamah dalam melakukan penghijrahan ke arah perkara kebaikan.

Jika diperhatikan secara terperinci, setiap ibadat dalam Islam akan disertai dengan kewajipan memasang niat.

Antaranya, ia terangkum dalam rukun solat, selain prasyarat supaya ibadat puasa diterima Allah SWT hatta turut dituntut ketika menunaikan zakat.

Ia dapat dikaitkan hikmah amalan memasang azam setiap kali tiba tahun baharu termasuk mengajak manusia supaya sentiasa berpegang kepada niat.

Walaupun ia bukanlah ketetapan syarak, umat Islam dibenarkan berbuat demikian dengan harapan akan mencetuskan titik perubahan dalam diri, sekali gus menjadi kayu ukur untuk lebih istiqamah.

Umar al-Khattab RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal (tidak berlaku) melainkan dengan adanya niat dan sesungguhnya setiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas itu, sesiapa berhijrah dengan tujuan mencapai keredaan Allah dan Rasul-Nya; maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan wanita, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa dituju sahaja.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pensyarah Kanan I’jaz Al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman. - Foto Syakirah Azhar
Pensyarah Kanan I’jaz Al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman. - Foto Syakirah Azhar

Pensyarah Kanan I’jaz Al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, tempat niat berada di setiap hati manusia.

Nu’man Basyir meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging berkenaan rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati.” (HR Bukhari)

“Ada berpandangan, jangan melihat luaran sahaja kerana Allah SWT menilai daripada hati.

“Ada kebenaran apa diperkatakan tetapi ia masih boleh dipersoalkan seperti seseorang yang sering mengabaikan solat.

“Apakah orang tidak solat itu datangnya daripada hati baik? Jika benar, tidak mungkin dia akan ingkar terhadap perintah Allah SWT,” katanya dalam ceramah khas Maal Hijrah di Surau NSTP, baru-baru ini.

Niat dan ikhlas menentukan kedudukan amalan di sisi Allah SWT. Gambar hiasan. - Foto Saifullizan Tamadi
Niat dan ikhlas menentukan kedudukan amalan di sisi Allah SWT. Gambar hiasan. - Foto Saifullizan Tamadi

Mohd Sukki berkata, situasi itu merujuk kepada keadaan hati yang menjadi rosak. Ia berlaku apabila ada yang mencipta persepsi antaranya menghukum orang mengerjakan solat tidak semestinya individu baik.

“Ini yang disebut bisikan Iblis kerana niat itu tempatnya dalam hati. Perkara ini jika dibicarakan tanpa ilmu akan menimbulkan kekeliruan.

“Benar, ada manusia tidak meninggalkan solat tetapi belum tentu mempunyai perilaku baik. Usah hukum ibadatnya, sebaliknya individu itu mungkin tidak mengaplikasikan tuntutan solat dengan sebaiknya.

“Bagaimanapun, sekurang-kurangnya mereka masih mentaati perintah Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga kerap terjadi kepada mereka yang mengalami masalah waswas dalam solat antaranya terpaksa mengulangi niat atau bacaan sama berulang kali.

“Ia berlaku sama ada kerana tidak yakin atau tidak mempunyai ilmu. Apabila berdiri betul untuk memulakan solat, kita perlu tahu takrif niat, iaitu kehendak melakukan sesuatu diikuti melaksanakannya.

“Jadi, jika kita berkehendak melaksanakan solat walaupun tidak disebut hatta sepatah lafaz dan kemudiannya bertakbir maka ia sudah dikira sebagai memasang niat,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan setiap umat Islam supaya sentiasa menanam niat baik dalam diri masing-masing.

“Umpamanya, tahun ini kita perlu bina niat dan keazaman baharu. Misalnya ingin menjadi hamba Allah SWT soleh.

“Jika selama ini kita membaca al-Quran tanpa memahami isi kandungannya, maka ambil langkah untuk khatam terjemahannya pula.

“Kita mesti memasang niat kerana jika tidak, apa yang kita kejar tidak akan berhasil. Akhirnya, diri sendiri rugi kerana masih tidak mampu memahami isi al-Quran sepenuhnya,” katanya.

Selain niat, Mohd Sukki menghuraikan setiap perbuatan perlu disusuli dengan sifat ikhlas dalam diri.

“Ikhlas bermaksud berbuat sesuatu hanya kerana Allah SWT dan Rasul SAW, bukan kerana inginkan pujian atau bermegah sesama makhluk.

“Maka, berniat dengan penuh ikhlas amat penting dan syarat ibadat kita diterima Allah SWT adalah memastikan setiap perkara atau tindak-tanduk bertepatan hukum syarak.

“Ia seperti kisah pemuda yang datang memberi salam kepada Rasulullah SAW selepas mengerjakan solat. Nabi kemudian menyuruhnya mengerjakan semula solat,” katanya.

Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW mengulangi arahan itu walaupun pemuda itu sudah mengerjakan solat lebih tiga kali.

“Lalu, lelaki itu bertanya apa yang kurang pada ibadatnya itu dan Baginda menjawab, solatnya tidak sah kerana tidak disertai tomakninah,” katanya.

Tambah Mohd Sukki, peristiwa yang berlaku pada pemuda ini wajar dijadikan pengajaran kerana ia menunjukkan walaupun kita sudah yakin melakukan banyak amal kebaikan, ia mesti selari dengan hukum syarak.

Beliau berkata, begitu juga keikhlasan turut menjadi penentu untuk meraih keredaan dan syurga Allah SWT di akhirat kelak.

“Dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA menyebut di akhirat kelak akan ditanya antaranya kepada pelbagai kelompok manusia termasuk mereka yang syahid kerana berjihad di jalan Allah SWT.

“Allah SWT menafikan pengakuan berkenaan kerana manusia yang syahid di dunia itu, berjuang bukan atas nama jihad tetapi ingin nama dijulang sebagai pahlawan.

“Maka, mereka bukan sahaja tidak beroleh pahala, bahkan dilemparkan ke dalam neraka kerana tidak ikhlas semata-mata kerana Allah dalam melaksanakan pekerjaannya,” katanya.

Beliau turut menyentuh kaedah bagi memastikan amal dan ibadat yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas kerana Allah SWT.

“Ada banyak cara untuk memastikan setiap perkara yang dilakukan itu benar-benar ikhlas seperti buatlah amalan tanpa perlu dicanang atau sehingga diketahui oleh orang lain.

“Contohnya, amalan qiamullail amat baik untuk dilakukan kerana biasanya waktu lewat tengah malam orang sedang tidur, jadi sudah tentu ibadat dilakukan kerana Allah SWT,” katanya.

Beliau turut menasihat masyarakat supaya tidak mendedahkan kebaikan atau amal ibadat dilakukan kerana dibimbangi mencemarkan sifat ikhlas hakiki dan mutlak semata-mata untuk Allah SWT.


Perbuatan mengungkit juga tidak baik bukan sahaja menghilangkan pahala kita tetapi boleh memutuskan hubungan silatulrahim.Jagalah keihlasan kita.



FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat." (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Al-Quran mengemukakan contoh infak yang dimusnahkan oleh unsur perosak yang menghapuskan pahala, iaitu mengungkit-ungkit dan menyakiti hati penerima. Seruan itu ditujukan kepada orang beriman supaya tidak memusnahkan pahala sedekahnya dengan menyebut dan menyakitkan hati penerima.

Tujuan sedekah asalnya untuk meringankan derita orang yang serba kekurangan dan mengubat perasaan sedih orang fakir. Sedekah yang disusuli dengan ungkitan dan tindakan melukakan perasaan penerima samalah dengan sedekah yang diberi oleh orang munafik yang berpura-pura Islam.

Mereka bersedekah tetapi tidak bersandarkan kepada keimanan dan keredaan Allah SWT sebaliknya bermatlamatkan keduniaan seperti mencari nama, pangkat dan kedudukan. Orang itu mungkin memperoleh apa yang diingini menerusi sedekahnya, namun tidak akan mendapat pahala daripada Allah SWT.

Berapa ramai orang yang suka benyebut kebaikan dibuatnya kerana ingin dipuji dan membanggakan diri. Perbuatan itu boleh menimbulkan sikap ungkit-mengungkit yang menyakiti perasaan, lebih-lebih lagi apabila orang yang bersedekah merasa penerima tidak berterima kasih atau menganggap kecil sedekah itu.

Ia menyebabkan pihak yang memberi berasa hati tetapi tindakan itu seolah-olah mereka memberi kerana hendak menunjuk-nunjuk. Andai benar, adalah malang sekali kerana mereka tidak mendapat apa-apa daripada perbuatan baik itu di dunia mahupun akhirat.

Hati tak disinari cahaya keimanan

Allah SWT hanya memberikan pahala kepada orang ikhlas yang beramal semata-mata mahu menyucikan hati dan memperbaiki akhlaknya.

Menurutnya Iman Al-Razi, mengungkit-ungkit itu mengakibatkan empat gejala negatif iaitu menyebabkan hati penerima hancur serta menjatuhkan air muka mereka, selain mengakibatkan orang miskin tidak suka menerima sumbangan.

Tindakan pihak yang menyumbang mengungkit infak menunjukkan seolah-olah harta itu milik mutlak mereka hakikatnya, harta adalah nikmat serta anugerah daripada Allah SWT kepadanya.

Pemberi rezeki yang sebenar ialah Allah SWT tetapi jika mereka berasakan harta dimiliki adalah atas usaha serta ikhtiarnya sendiri, hati mereka tidak disinari cahaya keimanan.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak masuk syurga pengungkit pemberian, penderhaka kepada ibu bapa dan penagih arak." (Riwayat an-Nasa'i)

Allah SWT tidak akan memberi petunjuk ke jalan yang baik kepada mereka kerana hanya iman yang menjadi titian seorang untuk berbuat ikhlas dan menderma hartanya. Justeru, hendaklah berhati-hati supaya infak tidak menjadi sia-sia.

Riak adalah perangai orang kafir yang perlu dijauhi khususnya apabila kita memberi sumbangan atau membantu mereka yang memerlukan. Sebaliknya, pastikan diri bersih daripada unsur yang boleh mencacatkan amalan sedekah.

Infak hendaklah dikeluarkan dengan niat hati yang suci, bersih dan tidak mengharapkan apa-apa selain keredaan Allah SWT. Iman kepada Allah SWT dan hari akhirat adalah prasyarat bagi menjayakan sesuatu projek yang bermatlamatkan hari akhirat.

Iman, hari akhirat

Iman kepada Allah SWT penting bagi mengawal setiap tindakan kita supaya tidak tersasar daripada tuntutan syariat kerana setiap amalan baik akan merugikan andai niat serta susulan daripadanya bertentangan dengan matlamat sesuatu itu diperintahkan.

Sumbangan yang sepatutnya bertujuan membantu mereka yang memerlukan bertukar kepada tindakan menyakitkan hati apabila diungkit dan amalan sepatutnya ikhlas untuk mendapat keredaan Allah SWT dijadikan landasan mendapat keuntungan atau pujian.

Niat yang ikhlas besar berkatnya jika dapat difahami sabda Baginda SAW: "Ikhlaslah terhadap agamamu, cukup bagimu amalan yang sedikit." (Riwayat al-Hakim).

Apalah ertinya sedekah yang bertimbun banyaknya tanpa niat ikhlas kerana keredaan Allah SWT berdasarkan niat suci seperti mana sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim)

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources


https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/10/201926/mengungkit-sakiti-hati-penerima-rosakkan-pahala-sedekah




Monday, January 6, 2020

Happy Birthday To You

Hari Ulangtahun kelahiran

     Pada suatu pagi hari Sabtu tanggal 7 Januari 1961 jam 2.00 pagi aku dipindahkan ke alam yang fana ini dari proses kelahiran ibuku yang tersayang Leha binti Manah.Selama lebih kurang 9 bulan ibu mengandungkanku.Sanak saudara turut menyambut kehadiranku,

     Selang tidak berapa jam ibuku telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kembali kepada penciptaNya Allah subhanahuwataala.Begitu besarnya pengorbanan seorang ibu dalam melahirkan seorang anak dengan menggantikan dengan nyawanya sendiri.

     Aku dibesarkan oleh datuk dan nenek saudaraku dan dijadikanku sebagai anaknya sendiri.Aku tidak mengenal ibuku dan tiada sekeping potret ibuku pada ketika itu yang ditinggalkan.Kakakku dipelihara oleh nenekku setelah kematian ibu.

    Pada hari ini usiaku telah menjangkau 59 tahun dan sudah berkeluarga dengan 4 orang anak bersama isteri tercinta .Syukur padamu Ya Allah diatas nikmat dan rezeki yang Engkau kurniakan kepadaku.Aku berdoa dan berharap dapat menghabiskan sisa hidupku didunia yang fana ini dengan amal kebajikan dan iman yang sempurna .Semuga engkau memberiku kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi segala dugaan dan cabaran yang Engkau berikan.

     Terima kasih kepada isteri dan anak-anakku ,sanak saudara dan kawan rakan yang selama ini menyokong dan membantuku dalam kehidupan ini.Aku faham bahawa aku dikeluarkan dari alam perut ibuku ke dunia yang fana ini melalui suatu proses kelahiran oleh ibuku.Suatu ketika nanti aku akan kembali kepadamu ke alam akhirat yang kekal abadi selepas mati.Mati adalah suatu proses kita pindah ke alam akhirat.Setiap orang akan merasai mati.Semuga Allah memberi kita suatu kematian yang baik.