Friday, June 2, 2017

Melayan Tetamu

Pernah diriwayatkan bahawa Nabi Allah Sulaiman A.S pernah ditegur oleh Allah SWT kerana melayan tetamu dengan tidak sepenuh hati.

Pada suatu hari Nabi Sulaiman AS telah dikunjungi oleh seorang tetamu. Dia adalah seorang yang kafir. Baginda pada waktu itu berfikir bahawa tidak perlu tetamu itu dimuliakan dan dihargai sepertimana tetamu dari kalangan pengikutnya kerana dia adalah seorang yang kafir. Lantas baginda hanya menghidangkan tetamunya dengan minuman dan bercakap dengan seadanya.

Sekembalinya tetamu itu, baginda telah didatangi malaikat Jibril A.S menyampaikan teguran Allah: “Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau melayan tetamu seperti itu ?
Jawab nabi Sulaiman:”Bukankah dia (tetamu itu) dari golongan kafir?”
Jibril bertanya:”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?”
“Allah!” Jawab Nabi Sulaiman penuh yakin.
Jibril : “Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?”
Nabi Sulaiman : “Allah!”
Jibril :”Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan?”
Nabi Sulaiman :”Allah!”
Jibril :”Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?”
Nabi Sulaiman :”Allah!”
Jibril : “Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?” Nabi Sulaiman A.S terdiam dan terus bersujud”.
Nabi Sulaiman : “Ya, Allah! Ampunilah hamba-Mu yang telah berbuat zalim ini.”
Kemudian malaikat Jibril menyampaikan wahyu Allah:”Wahai nabi Allah, pergilah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya.”.
Dengan segera Nabi Sulaiman mencari tetamunya tadi. Setelah bertanya ke sana ke mari dan mencari-cari, ternyata, tetamunya itu sudah jauh berjalan meninggalkan kota. Nabi Sulaiman A.S dengan pantas mengejar tetamunya itu. Setelah bertemu, dan dengan nafas yang masih termengah-mengah, baginda berkata: “Saudara, tunggu…!”
Tetamu tadi menoleh dan melihat keadaan Nabi Sulaiman dengan kehairanan lalu bertanya: “Kenapa?”
“Saudara… sudikah kamu memaafkan tingkah laku saya tadi, ketika mana kamu menjadi tetamu di rumah saya tadi?”
Orang itu diam. Jauh di sudut hatinya, sebenarnya dia merasa wajar diperlakukan seperti itu, kerana dia memang bukan termasuk di dalam golongan pengikut Nabi Sulaiman. Dia tidak menerima ajaran Tauhid yang dibawa oleh baginda.

Tetapi dia terus juga bertanya: “Kenapa, wahai Sulaiman?”
“Allah menegurku, setelah engkau pulang dari kediamanku.”
“Allah? Siapakah dia?” Tetamu itu bertanya.
“Allah adalah Tuhan, Tuhan Kami dan Tuhan Engkau, Yang menciptakan langit dan bumi, dan semua isinya. Dia yang menciptakan malaikat, jin dan manusia. Dia Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.”

“Lalu, kenapa Dia menegurmu?” Tetamu itu terus bertanya.
“Allah menegurku, kerana aku sudah tidak berlaku adil terhadapmu. Aku tidak memuliakanmu sebagai tetamu. Allah yang Maha Kuasa selalu bersifat adil terhadap semua hamba dan ciptaan-Nya, mengapa aku berlaku tidak adil terhadapmu?” Nabi Sulaiman menerangkan keadaan sebenar.

“Sebegitukah Tuhanmu wahai Sulaiman, memperlakukan aku, walaupun aku bukan dari golonganmu?” Tetamu itu bertanya penuh taajub.

“Iya…! Maafkan sikapku tadi wahai saudara, ampunan Allah tergantung dengan kemaafanmu” Nabi Sulaiman meminta.
“Saksikanlah, wahai Sulaiman! Asyhadu alla ilaa ha illallah, Wa anta Rasulullah!” ucap si tetamu.

Orang itu memeluk nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman pun memeluk tetamunya itu dengan penuh rasa terharu.

Sebenarnya bila Allah memerintahkan kita berbuat sesuatu ataupun meninggalkan sesuatu pasti akan ada hikmahnya yang besar di sebaliknya. Lihatlah, dengan hanya memuliakan tetamu boleh membuatkan hati seorang kafir menjadi lembut dan menerima Islam.

Sumber FB Awang Al-Kenit

No comments:

Post a Comment