Friday, November 14, 2014

Dialog Tentang Solat

Mari kita ikuti perbualan di antara Stopa dan Awang yang berbicara tentang 'orang yang meninggalkan sembahyang' dengan dada yang lapang dan fikiran terbuka….. Semoga bermanfaat.by Abe Awang Malaya
-----------------------------------------------------------------
.
STOPA : “Ok, aku nak tanya mu…. Orang yang tinggal sembahyang, apa hukumnya…?”
.
AWANG : “Hukumnya, berdosa besar…!”
.
STOPA : “Kalau dia qadha…?”
.
AWANG : [Diam]
.
STOPA : “Maksud aku, kalau dia sembahyang untuk ganti sembahyang yang dia tinggal tu…!”
.
AWANG : “Siapa suruh dia qadha…?”
.
STOPA : “Tak ada orang suruh… Dia sendiri yang nak qadha.”
.
AWANG : “Pasal apa dia qadha…?”
.
STOPA : “Sebab nak ganti sembahyang yang dia tinggal tu lah…!”
.
AWANG : “Pasal apa dia tinggal sembahyang….?”
.
STOPA : [Terdiam]
.
AWANG : “Siapa yang benarkan dia tinggal sembahyang…?”
.
STOPA : [Terdiam]
.
AWANG : “Tak ada istilah solat qadha dalam Agama…!”
.
STOPA : “Kenapa pulak tak ada….?”
.
AWANG : “Pertama, sebab sembahyang tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa keadaan sekali pun….! Kalau tidak dibolehkan meninggalkan sembahyang, mana mungkin boleh diganti atau diqadha…? Kalau boleh diqadha, maknanya kewajipan sembahyang itu boleh lah ditinggal-tinggalkan…?”
.
STOPA : [Terdiam]
.
AWANG : “Kedua, memang tak ada sebarang dalil yang perintahkan supaya mengqadhakan sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja…!”
.
STOPA : “Kalau tinggal sembahyang dengan tidak sengaja…?”
.
AWANG : “Apa maksud tinggal sembahyang dengan tidak sengaja…? Kenapa tidak sengaja…? Atas alasan apa…? Bukankah agama telah memberi bermacam-macam kelonggaran untuk membolehkan seseorang melaksanakan kewajipan sembahyang walau dalam apa keadaan pun…? Orang musafir, diberi kemudahan untuk solat qasar dan jamak…. Orang sakit, ada caranya sembahyang sambil duduk atau baring…. Tidak sengaja yang bagaimana yang mu maksudkan?”
.
STOPA : “Misalnya, orang yang tertidur hingga habis waktu…?”
.
AWANG : “Orang yang tertidur, hendaklah dia sembahyang apabila dia jaga…..”
.
STOPA : “Bagaimana dengan orang yang terlupa….?”
.
AWANG : “ Orang yang terlupa, hendaklah dia sembahyang apabila dia ingat….!”
.
STOPA : “Itu maknanya, orang yang tertidur atau terlupa dikehendaki mengqadhakan sembahyangnya yang tertinggal….!"
.
AWANG : “Itu bukan qadha…! Dia sembahyang dalam waktu, kerana itulah waktu solat bagi mereka yang tertidur atau terlupa….! Solat qadha tetap tak ada…!”
.
STOPA : “Ada Hadis yang bermaksud : 'Sesiapa dari kamu, kalau tertidur dari mengerjakan solat atau dia lupa mengerjakannya hendaklah dikerjakan olehnya, apabila dia ingat.' [Hadis Sahih Riwayat Muslim]
Hadis ini dengan jelas mewajibkan orang yang tertidur atau lupa, supaya mengqadhakan solatnya ketika dia sedar atau ingat…. Dengan itu, kita tahu bahawa orang yang meninggalkan solat, adalah diperintahkan untuk mengqadhanya…!”
.
AWANG : “Bagi orang yang tertidur atau terlupa, waktu solat baginya ialah ketika dia terjaga atau ketika dia ingat….. Sabda Nabi SAW, maksudnya : "Barangsiapa lupa satu solat fardhu, maka waktu solat baginya itu, ialah apabila dia ingat." [Hadis Riwayat Baihaqi].
Jadi, orang itu bukan dikira mengqadhakan solatnya, tetapi dia solat di dalam waktu yang ditetapkan dan dibenarkan baginya…. Itu adalah waktu solat bagi dia, yang tertidur atau terlupa itu, bukan qadha….”
.
STOPA : “Ibadat Puasa juga salah satu dari rukun Islam….! Kenapa puasa yang ditinggalkan boleh diqadha tapi sembahyang tak boleh qadha?”
.
AWANG : “Pertama, sebab kewajipan Puasa dibenarkan tangguh, atau dibolehkan untuk berbuka kepada orang tertentu, seperti orang sakit, ibu yang mengandung, musafir, dan lain-lain…… Kedua, ada dalil yang mewajibkan mereka qadha puasa yang ditinggalkan.”
.
STOPA : “Kenapa tak boleh diqiyaskan qadha solat dengan dalil qadha puasa?”
.
AWANG : “Urusan ibadat tak boleh main qiyas-qiyas, Pa…! Yang boleh diqiyaskan hanya dalam urusan keduniaan.”
.
STOPA : “Ada alasan lain, kenapa Puasa yang ditinggalkan boleh diqadha tetapi sembahnyang yang tertinggal tidak boleh qadha….?”
.
AWANG : “Ada….! Misalnya, wanita yang uzur kerana datang bulan…. Mereka dilarang berpuasa dan dilarang mengerjakan solat….. Puasa yang ditinggalkan itu wajib diqadha, tetapi solat yang ditinggalkan itu tidak diperintahkan qadha….. Itu menunjukkan qadha puasa itu ada diperintahkan oleh agama, tapi tak ada solat qadha dalam agama….”
.
STOPA : “Tapi… Kalau solat sudah ditinggalkan, bukankah lebih baik kalau diqadhakan, mana tahu kalau-kalau Allah mahu terima solat qadha yang dikerjakannya?”
.
AWANG : “Pa, dalam urusan ibadat, lebih-lebih lagi urusan solat, jangan mengada-ngadakan perkara yang tak ada…. Solat qadha memang tidak ada dalam Islam….. Orang yang sengaja melewatkan solat dari waktu yang ditetapkan dengan tidak ada uzur, itu berdosa besar…. Orang itu mesti bertaubat dan tidak boleh lagi tinggalkan sembahyang…. Dan qadhanya tidak diterima…!”
.
STOPA : “Kenapa pulak solat qadhanya tak diterima?”
.
AWANG : “Sebab solat itu telah dilewatkan daripada waktunya dengan sengaja….! Kita kena tahu bahawa tiap-tiap solat itu telah ditetapkan waktunya.
Contohnya, sebelum terbit fajar kita tidak boleh sembahyang Subuh, sebab bukan waktunya…. Begitu juga selepas matahari terbit, kita tak boleh sembahyang Subuh, sebab bukan waktunya juga….”
.
STOPA : “Sebelum fajar, bermakna belum sampai waktu untuk kerjakan solat Subuh…. Oleh sebab itu, kalau solat juga, ianya tidak sah….. Tetapi kalau kita lewatkan solat Subuh hingga terbit matahari, maka solat Subuh itu jatuh hutang atas kita, sedangkan hutang kepada Allah itu lebih perlu dibayar, seperti sabda Nabi SAW, maksudnya : "Bayarlah kepada Allah, kerana (hutang kepada) Allah itu, lebih perlu disempurnakan." [Hadis Riwayat Bukhari]
.
AWANG : “Hadis itu timbul tentang urusan seorang yang mati sebelum dia mengerjakan Haji selepas ada kemampuan untuk berbuat demikian…. Lalu anaknya bertanya hukum kepada Nabi SAW untuk membayar hutang orang tuanya itu, maka Nabi bersabda : "(Hutang kepada) Allah itu lebih perlu disempurnakan."
Hadis itu tidak boleh dijadikan dalil untuk qadha sembahyang, dengan beberapa alasan :-
1) Hadis itu tidak boleh diamalkan, kerana bertentangan dengan Ayat 39 Surah an-Najm dan Ayat 54 Surah Yasin dan lain-lain Ayat yang menerangkan bahawa amal yang dikerjakan oleh seseorang itu, tidak dapat dipindahkan pahalanya kepada orang lain.
2) Hadis itu mengenai ibadat Haji... Kalau boleh diqiyaskan atau diamalkan pada urusan solat, tentulah bermakna, bahawa solat yang ditinggalkan oleh orang tua itu patut dibayar oleh anaknya, padahal kita sendiri telah mengaku bahawa solat yang ditinggalkan oleh seseorang itu, tidak boleh dibayar oleh orang lain.
3) Diwajibkan Solat sebelum Hijrah…. Diwajibkan Haji pada tahun yang keenam selepas Hijrah…. Hukum yang diberi atas suatu urusan yang terkemudian itu, tidak boleh dijadikan pokok alasan untuk diqiyaskan kepada satu urusan yang telah terlebih dulu.
4) Di dalam ibadat, tidak boleh main qiyas-qiyas. Kalau boleh qiyas dalam ibadat, tentulah rosak Agama, kerana nanti orang solat jenazah dengan pakai Azan dan Qamat, kerana diqiyaskan kepada solat lima waktu.
Dengan semua alasan itu, adalah jelas bahawa solat yang orang tinggalkan dengan sengaja itu, tidak boleh disamakan dengan hutang yang mesti dia bayar, tetapi ia adalah suatu kewajipan yang dia telah keluarkan dari tempohnya yang mesti, dengan tidak ada uzur, dan dia berdosa dengan perbuatannya itu, yang mana dosa itu tidak dapat ditutup kecuali dengan bertaubat kepada Allah.”
.
STOPA : “Mengikut kaedah hukum, bahawa kalau seseorang telah melewatkan kewajipannya dari satu waktu yang ditetapkan untuk ibadat itu, maka tidak bermakna bahawa kewajipannya itu gugur daripadanya sama sekali…!”
.
AWANG : “Betul…! Ada kewajipan seperti yang mu sebutkan tu, tapi ada juga kewajipan yang tak boleh dikerjakan di luar waktu yang ditetapkan.”
.
STOPA : “Boleh mu bagi contoh?”
.
AWANG : “Boleh…! Contohnya :-
1) Sembahyang Jumaat; kalau kita tak kerjakan di waktu Zohor hari Jumaat, adakah boleh kita kerjakan di sebelah malam, atau di hari Sabtu?
2) Sembahyang Sunat Hari Raya; kalau kita tak kerjakan di pagi hari raya,
adakah boleh kita kerjakan keesokan harinya?
3) Puasa; kalau kita tak puasa di siang hari, adakah boleh kita puasa di waktu malam?
4) Wuquf di Arafah; kalau lewat dari waktunya, adakah boleh kita qadha pada keesokan hari?”
.
STOPA : “Tadi mu kata ada ibadat yang boleh dikerjakan di luar waktunya, tapi kenapakah solat itu termasuk dalam ibadat yang tidak boleh dikerjakan di luar waktu…?”
.
AWANG : “Sebab solat termasuk dalam ibadat yang tidak sah dikerjakan di luar waktunya dengan tiada uzur, kerana solat telah ditentukan dan dihadkan waktunya : dari waktu itu hingga waktu ini, dari jam sekian-sekian hingga jam sekian-sekian, contohnya, sama seperti Solat Jumaat, Wuquf, Hari Raya, dan lain-lain.
.
STOPA : "Terimakasih, Wang.... Esok kita sambung."

No comments:

Post a Comment