Bila kisah
ini menyinggah di pandangan mataku...sejenak aku berfikir. Sejenak itu
jua aku pantas menjadikan ia satu perkongsian untuk semua. Tidak kupasti
siapakah penulis kisah ini, namun di alam maya ini, aku terpanggil
untuk menjadikan ianya satu pengisian yang menarik.
"Disini
saya hendak bercerita sedikit tentang ayah saya yang juga seorang karkun
atau tabligh. Hanya tuan-tuan sahaja yang dapat membuat kesimpulan
dengan apa yang terjadi. Kisah ini hanya sebagai renungan kita bersama
sementara masih hidup.
Pada 1 mei 2009 yang lepas ayah saya
baru sahaja meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kerana menghidap
penyakit kencing manis dan juga ulser perut. Saya hanya mempunyai 2
orang adik yang masih lagi belajar. Adik saya yang pertama masih lagi
menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi dan yang kedua pula masih
bersekolah di tingkatan lima manakala ibu pula sudah lama meninggal
dunia pada tahun 1997. Saya pula berumur 23 tahun dan bekerja di sebuah
syarikat swasta sebagai pembantu teknik. Sejak kematian ibu ayahlah yang
menjaga dan mendidik kami dengan penuh kasih sayang.
Walaupun
hanya bergantung kepada pencen ibu yang diterima setiap bulan dan
pendapatan ayah yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak seberapa tapi
kehidupan kami tetap bermakna. Ayahlah satu-satunya yang kami ada.
Walaupun kehidupan kami tidak mewah tetapi dengan apa yang ada kami
tetap bersyukur dan ayah masih lagi mampu untuk menyara kami sekeluarga
sehinggalah saya dapat belajar di intitusi pengajian tinggi awam.
Ayah telah memberikan kami didikan agama yang cukup sempurna sejak dari
kecil lagi. Setiap kali selesai solat maghrib kami akan membaca taklim
(Hadis) dirumah sementara menunggu waktu isyak. Semua ini adalah hasil
didikan ayah sejak kecil lagi kepada kami adik-beradik hingga kini dan
tidak pernah kami tinggalkan.
Walaupun ayah selalu keluar ke
jalan ALLAH 3 hari setiap bulan dan 40 hari setiap tahun iaitu selepas
raya aidilfitri atau hujung tahun tetapi tanggungjawab sebagai seorang
ketua keluarga tidak pernah ayah abaikan. Walaupun seringkali
meninggalkan kami sendirian tetapi kami tetap redha kerana kami tahu
ayah menjalankan tanggungjawabnya kepada agama dan masyarakat. Kami
percaya yang ALLAH akan membela dan memelihara kami walaupun tanpa ayah.
Saya juga seringkali mengikut jemaah keluar kejalan ALLAH bila ada
kelapangan walaupun semasa bergelar seorang penuntut.
Tetapi
usaha yang ayah jalankan ini tidak mendapat sokongan dari ahli keluarga
dan saudara-mara yang lain kerana mereka menyangka yang ayah tidak
bertanggungjawab kepada anak-anak. Walaupun begitu ayah tetap tenang dan
tidak mudah melatah dengan apa yang ayah hadapi walaupun kutukan demi
kutukan terus dilemparkan, ini kerana ayah telah melakukan usaha ini
sejak dari umur belasan tahun lagi. Ayah juga sering berpuasa di bulan
rejab, syaaban, ramdhan berturut-turut dan melakukan solat malam, tidak
pernah ayah tertinggal walau satu malam sekali pun, selesai solat ayah
akan memanjatkan doa kepada ALLAH S.W.T meminta pertolongan, bantuan dan
memohon kepada ALLAH agar anak-anaknya menjadi seorang insan yang
berguna dan tidak sekali-kali meninggalkan ibadah.
Setelah
tamat pengajian saya telah dipanggil untuk ditemuduga bagi jawatan
juruteknik di sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja bagi industry
petroleum, gas dan petrokimia sekali gus diterima bekerja. Saya terlalu
bersyukur kepada ALLAH kerana memakbulkan doa ayah selama ini dan saya
tidak pernah menganggur setelah tamat pengajian. Berkat doa ayah juga
lah saya dapat mengecapi kejayaan pada hari ini. Setelah 2 tahun bekerja
saya telah dinaikan pangkat kepada pembantu teknik, walaupun begitu
tidak pernah sekali pun saya mengabaikan tanggungjawab saya sebagai
seorang hamba kepada ALLAH dan anak.
Semasa ayah dimasukkan ke
wad ICU di Hospital Kuala Lumpur ramai antara kenalan ayah yang datang
dari dekat mahupun jauh, ada antara mereka yang datang dari Jordan,
Kuwait, Pakistan dan Arab Saudi. Kesemua mereka adalah jemaah-jemaah
Tabligh yang telah sama-sama melakukan usaha di Malaysia. Mereka datang
sebaik sahaja mendapat berita yang ayah telah dimasukkan ke hospital
walaupun baru hari kedua ayah dimasukkan ke wad.
Semasa diwad
ICU ayah tidak pernah melakukan perbuatan yang pelik dan ayah tidak
pernah sekalipun meninggalkan solat lima waktu walaupun terpaksa baring
diatas katil hinggalah pada hari jumaat 1 may 2009 semasa sedang solat
asar rakaat kedua secara tiba-tiba ayah mula tidak sedarkan diri kerana
luka pada usus telah berdarah kembali.
Semasa ayah sedang sakit
pernah saya hendak menghantar ayah untuk menerima rawatan dihospital
kerana penyakit kencing manis tetapi ayah menolak kerana susah untuk
menunaikan solat di sana. Walaupun ayah sakit ayah masih lagi mampu
menunggang motorsikal untuk menunaikan solat lima waktu di masjid dan
masih lagi menjalankan usaha dengan keluar 3 hari.
Sebelum ayah
mendapat penyakit kencing manis pada awal april 2009 ayah telah berniat
untuk keluar 40 hari ke jalan ALLAH untuk melakukan usaha tersebut dan
ketika sakit ayah tetap berkeras dengan keputusan yang dibuat. Bagi saya
sebagai seorang anak saya tiada hak untuk melarang ayah dari terus
melakukan usaha malah saya berharap agar ALLAH dapat memelihara ayah
dari sebarang perkara yang tidak diingini. Saya redha jika ayah pergi
ketika melakukan usaha tersebut kerana mati dijalan ALLAH adalah mati
syahid dan saya bersyukur sekiranya ia terjadi. Tetapi belum sempat ayah
melakukan usaha ALLAH terlebih dahulu mengambil nyawanya.
Pada
jam 2100 1 mei 2009 ayah telah punkembali kerahmatullah dengan cara
yang paling mudah yang ALLAH berikan. Ayah pergi dalam keadaan yang
tenang. Saya sempat untuk mengajar ayah mengucap dua kalimah syahadah
walaupun tiada suara ayah kedengaran tetapi dari raut wajah dan gerakan
bibir telah membuatkan saya yakin yang ayah mendengar apa yang saya
ucapkan. Dengan airmata yang bergelinang dahi yang mula dibasahi peluh
dan ketenangan air muka ayah telah menghadap tuhan yang maha esa
penghulu kepada langit dan bumi di arasy ALLAH S.W.T. Segala urusan
telah ALLAH permudahkan walaupun usaha yang ayah lakukan tidaklah
sebesar mana.
Semasa melakukan urusan untuk menuntut jenazah
saya telah diberitahu yang segala perbelanjaan rawatan dihospital telah
pun dibayar sepenuhnya oleh seorang HAMBA ALLAH begitu juga dengan
urusan pengkebumian dan tahlil segalanya telah diuruskan oleh orang
perseorangan yang tidak saya kenali. Keesokan paginya ramai kenalan ayah
yang hadir untuk menziarah tidak kira dari dalam dan luar negara jauh
mahupun dekat. Pelajar-pelajar tahfiz juga turut sama hadir.
Keesokan paginya semasa urusan memandikan jenazah terdapat darah yang
mengalir dari luka akibat proses hemodalisis. Darah tersebut cukup
sifatnya dan merah mengalir keluar dari tubuh ayah. Sedang saya sibuk
menggosok badan ayah, seorang tukang mandi yang saya cukup kenali
sebagai berkata sesuatu kepada saya.
“Bapak kau ni tengah tidur ke?" tanya Wak.
Saya tidak dapat melayan pertanyaan wak kepada saya kerana sedang sibuk memandikan jenazah ayah.
“Ko pakai minyak atar ke ni?" Tanya wak lagi.
“Mana ada, mandi pun belum lagi ni wak. Kalau minyak atar tu ada la di rumah. Minyak atar kasturi ayah punya”, Jawap saya.
“Hah! Ni bau kasturi la ni”, balas wak kepada saya.
Saya terus mendiamkan diri dan menyambung kerja saya semula. Dalam hati saya berkata.
“Betul juga apa yang wak ni cakap, dari tadi lagi aku bau semacam je.
Macam bau badan ayah masa nak ke masjid untuk solat berjemaah pula”
Selepas solat zohor saya terus melakukan solat jenazah bersama-sama
dengan jemaah yang lain dan apa yang saya dengar solat jenazah ini
terlalu ramai dari bahagian tengah masjid hingga ke bahagian belakang
saf lelaki. Selepas itu jenazah terus dibawa ke kawasan perkuburan islam
Jalan Ampang untuk dikebumikan dan sekali lagi perkara yang pelik
berlaku semasa menurunkan jenazah ke dalam liang lahad dimana lima orang
boleh muat untuk turun kebawah sedangkan badan kami besar dan laing
lahad hanya berukuran tujuh kaki lebar.
Semasa jenazah ayah
dibawa turun dapat saya rasakan yang beratnya terlalu ringan seolah-olah
sedang memeluk kapas. Sekali lagi perkara pelik terus berlaku semasa
bilal sedang membaca talkin hadirin yang hadir tercium bau yang semerbak
harum bak kasturi dan saya sendiri turut sama mencium bau tersebut.
Selesai sahaja urusan pengkebumian ramai kenalan yang hadir bertanyakan
soalan kepada saya tentang apa yang berlaku semasa di tanah perkuburan
dan persoalan itu masih tidak dapat saya jawap hingga hari ini. Hanya
ALLAH S.W.T sahaja yang mengetahui apa yang berlaku.
Bagi saya
setiap amalan kita didunia pada hari ini akan menjadi pertimbangan kita
diakhirat kelak. Jika didunia ALLAH ingin menunjukan kepada kita atas
perbuatan kita maka ianya akan berlaku inikan pula di akhirat.
InsyaALLAH tuan-tuan apa yang berlaku kita jadikan iktibar buat diri
kita dan renungan kita bersama. Saya tidaklah pandai menulis dan
berkata-kata apatah lagi bila berbicara soal agama, saya juga seperti
tuan-tuan insan yang lemah disisi ALLAH S.W.T. segala apa yang saya
ceritakan adalah kisah benar dalam hidup saya dan ianya bukanlah nukilan
semata-mata. Terpulang pada tuan-tuan semua untuk menilainya. Walaupun
ayah telah tiada tetapi saya berniat dalam hati saya kerana ALLAH S.W.T
saya akan meneruskan usaha yang dilakukan oleh ayah."
Kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan facebook anda. Sharing is Caring
-awinda al habsyi-